i love islam

lailahaillallah..

zikrullah n doa

Thursday, April 21, 2011

siapa aku di mata kalian??


assalammualaikum..
nampak cm sensitif jek tajuk entry kali ni kan..
Allahurabbi...kadang kala kita rasa tersisih oleh dunia..

"kenapa aku x popular cm ko?eh2!! asik2 ko jek org tgk..aku ni??? cm xwujud jek..."

ASTAGHFIRULLAHALAZIM...
Wahai sahabat..bukan itu yang dinilai..

---------------

KISAH JULAIBIB

Saya ingin bertanya..adakah di antara kita sungguh kenal akan JULAIBIB??
erm..rasanya tiada..sama ada di zaman Rasulallah atau zaman yang moden ini,memang ramai yang tidak mengenali siapakah Julaibib..

Julaibib lahir tanpa dirinya mengetahui nasab keturunannya.Dirinya tiada mengenal siapa itu ibu dan siapa itu ayahnya. Begitu juga dengan jiran tetangganya, tidak mengetahui asalnya Julaibib.

Fizikal Julaibib?? adakah dirinya tampan?tinggi? berbadan sasa?? mari saya jelaskan..

Dia lelaki pendek. Kerdil. Kulitnya hitam legam. Mukanya hodoh. Dirinya miskin. Bahkan hidupnya, sebatang kara.

Dia terpinggir dari masyarakat. Hadirnya, atau tiadanya, tiada apa-apa bagi masyarakat. Hanya Rasulallah S.A.W sahaja yang mengambil berat tentang lelaki kerdil ini..Subhanallah..dirinya tidak dikenali ramai,tetapi tingginya darjat beliau kerana disukai Rasulallah...

Dirinya punya kekurangan yang seribu, tetap dia akan menjadi antara yang paling hadapan dalam saf peperangan. Bukan hanya itu, Julaibib juga tidak rela dirinya ketinggalan daripada berada di saf pertama setiap solat fardu.

Saat semua orang membencinya, dia masih tersenyum kerana di sana, ada seorang lelaki yang kasih padanya. Ya ALLAH... Beruntunglah Julaibib, kerana sungguh Rasulallah amat mencintai lelaki kerdil ini.

Satu ketika, Rasulallah memanggil Julaibib. "Wahai sahabat yang aku cinta. Mahukah dirimu bernikah?"

Julaibib tersenyum manis. Wajah gelapnya tampak jernih. Dengan redha, dia menjawab, "Wahai Rasulallah, apakah ada orang yang mahu menikahkan puterinya dengan daku?"

Jawapannya ikhlas. Dirinya redha, tanpa sekelumit kesal dan merajuk pada Ilahi yang menciptakannya begitu.

Rasulallah S.A.W mengulangi pertanyaan. "Wahai Julaibib. Inginkah kamu untuk bernikah?"

Masih dengan senyuman yang mekar dalam keimanan dan penyerahan diri pada Allah, Julaibib menjawab ikhlas, "Ya Rasulallah... adakah ada orang yang mahu menikahkan puterinya dengan aku?"

Lalu, Rasulallah membawa Julaibib bertemu dengan seorang sahabat Ansar.

"Wahai sahabat, aku mahu meminang puterimu"



Maka, berseri-seri wajah lelaki ansar tadi. Dirinya menyangka bahawa Rasulallah berhajat mahu memperisterikan anak gadisnya. Cuma, gembiranya dan serinya itu bertukar malap serta merta saat terhujah di telinganya bahawa pinangan itu bukan untuk Rasulallah, tetapi untuk Julaibib..

"Julaibib? Aduh. Izinkan aku berbincang dahulu bersama isteriku kerana ia sebuah urusan yang sangat besar", pinta lelaki tadi dengan wajah yang bertukar kelat tiba-tiba.

Saat perkara itu sampai kepada isterinya, wanita itu tekad. "Julaibib? Ah! Tidak! Demi Allah! Sesekali tidak akan kita kahwinkan anak kita dengan Julaibib!"

Naluri si ibu memang begitu. Mereka mahu yang terbaik buat anak mereka. Memang dari pertimbangan akal, sekiranya yang dinikahi itu ialah Julaibib, maka dari celah mana adanya bahagia? Julaibib kerdil, hodoh, miskin, tiada keluarga... dan sejuta macam kekurangan dan kelemahan.

Sedang si ibu berkeras tidak mahu mengizinkan, si ayah cuba memujuk kerana mungkin, dirinya malu untuk menghampakan Rasulallah. Perbincangan itu terdengar oleh anak gadis itu.

Gadis itu bertanya, "Daripada siapakah lamaran ini?"

Lalu diberitahu kepadanya. "Daripada Rasulallah s.a.w tetapi kepada Julaibib"

Subhanallah...

Dengan lembut dan hati yang bulat mengharap cinta Allah, gadis solehah itu memujuk, "Ketahuilah ibu, sekiranya ia adalah permintaan daripada Rasulallah, maka pasti tidak akan ada satu mudharat pun yang akan menimpa diriku. Kahwinkanlah aku dengan Julaibib..."


tidak lama selepas bernikah, sampai seruan untuk jihad. Masih menjadi pengantin baru, Julaibib telahpun sedia menyandang senjatanya. Seruan jihad benar-benar membakar jiwa juangnya.

Di medan perang, Julaibib terbunuh. Dia syahid.

Akhir pertempuran, jasad-jasad yang terkulai di medan perang akan dikumpulkan. Jasad para syuhada' juga dikumpulkan di suatu tempat. Suanana menjadi sangat sayu.

Tiba-tiba, Rasulallah bertanya, "Adakah kalian kehilangan seseorang?"

Para sahabat segera menjawab, "InsyaAllah tiada, ya Rasulalallah"
Sekali lagi, Baginda bertanya, "Adakah kalian telah kehilangan seseorang?"

Kali ini para sahabat tidak terus menjawab. Mereka mula merasa ragu-ragu.

Lalu Rasulallah S.A.W berkata, "Sungguh, aku telah kehilangan Julaibib..."
Subhanallah... Saya hampir menitiskan air mata saat mendengar kata-kata yang keluar dari bibir mulia Baginda Rasul ini.

Rasulallah kemudiannya menyambung, "Sesungguhnya Julaibib ialah sebahagian daripada diriku dan diriku ialah bahagian darripada dirinya"

Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah!



Mulianya si hodoh itu... Beruntungnya si miskin itu... Bahagianya si kerdil itu...

Itulah Julaibib... Dirinya tidak terkenal di bumi, tetapi namanya disebut-sebut oleh penduduk langit...

Dan buat kalian yang pernah merasa rendah diri, merajuk dan kesal dengan ciptaan Allah,
Ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak memandang kecantikan fizikal kita tetapi Allah dan Rasul-Nya memandang kecantikan iman kita. Allah menilai ketaqwaan kita.

Dan jika antara kita yang teringin untuk bersua muka dengan Rasulallah, berhentilah merajuk. Dan belajarlah untuk bersyukur, bersabar dan redha dengan ciptaan Allah kerana ia adalah asas kepada kehambaan.

Allah....ampuni dosaku Ya Allah andai terselit walau sekelumit rasa kesal atas ciptaanMu...ampuni dosaku Ya Rabb..Ampuni dosaku....Ampuni dosaku....amin..amin..Ya Rabbal Alamin......

No comments:

Post a Comment